Amalakanlah Bersedekah di Waktu Pagi dan Berdoa Dengan Doa Menolak Musibah

Rabu, 10 Oktober 2018 | 09:02:15

Amalakanlah Bersedekah di Waktu Pagi dan Berdoa Dengan Doa Menolak Musibah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,

Rasulullah SAW sentiasa mengajar umatnya untuk sentiasa bersedekah di waktu pagi dan membaca doa menolak musibah pada waktu pagi dan petang kepada Allah SWT boleh terhindar atau dijauhi daripada bala dan musibah.

Perkara-perkara yang boleh menjauhkan bala dan musibah adalah seperti berikut :

Pertama : Bersedekah pada waktu pagi.

Kedua : Membaca doa menolak musibah

Huraiannya :

Pertama : Bersedekah pada waktu pagi.

Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat mereda murka Allah dan dapat menarik rezeki dan berkah yang banyak. Maka berpagi-pagilah kalau bersedekah. Kerana sesungguhnya bahaya itu turun pagi hari, sebelum bahaya turun, bersedekahlah sehingga dapat menolak bahaya di udara."

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa bahaya (bala) akan turun pada waktu pagi maka jika kita bersedekah pada waktu pagi boleh menolak bahaya di udara dengan izin Allah SWT.

Bagaimana cara-cara kita hendak bersedekah pada waktu pagi?

Perkara ini amat mudah kerana di masjid atau di surau terdapat tabung-tabung derma samaada untuk mesjid atau surau atau tabung khusus untuk anak yatim maka semasa datang kemasjid atau surau untuk solat subuh berjemaah maka masukkan kedalam tabung tersebut walaupun hanya satu ringgit. Amalkan setiap hari niatkan semata-mata kerana Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :

“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”  (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Maksud kematian yang buruk (su'ul khatimah) ada kematian mengejut disebabkan kemalangan jalan raya, mati terbakar, mati lemas atau mati dibunuh. Di khuatiri semasa mengalami kematian tersebut tidak sempat mengucap kalimah "Laailahaillallah" dan tidak sempat bertaubat.

Al-Mubarakafuri pula menceritakan bahawa Imam al-Iraqi pernah berkata : “Jika difahami secara zahir apa yang dimaksudkan dengan kematian yang buruk adalah seperti meninggal dalam runtuhan , jatuh di tempat tinggi, mati lemas, mati terbakar, diganggu syaitan ketika sakratul maut dan mati ketika sedang melarikan diri dari medan perang dimana keadaan-keadaan seperti ini yang Nabi SAW. memohon kepada Allah untuk dijauhkan daripadanya.”

Kedua : Membaca doa menolak musibah

Dari Aban bin Osman, bahwa Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa membaca ‘BISMILLAAHIL LAZII LAA YADURRU MA’AS MIHI SYAI’UN FIL ARDI WALA FIS SAMAA’ WAHUWAS SAMII’UL ‘ALIIM’

Maksudnya : "Dengan nama Allah, dengan nama-Nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada di bumi dan di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah hingga malam hari, dan sesiapa membacanya di waktu malam maka tidak akan ditimpa musibah hingga pagi hari, dengan izin Allah.”

(Hadis Riwayat Ahmad no 497)

Satu ketika Aban bin Osman telah ditimpa musibah mendadak di mana dia telah ditimpa penyakit lumpuh. Sahabat hairan mengapa Aban boleh mengalami musibah, padahal dia yang telah meriwayatkan hadis doa menolak musibah. Maka Aban bin Usman dengan jujur mengakui bahwa pada hari itu dia telah terlupa membaca doa tersebut.

Nabi SAW ada mengajarkan satu doa untuk kita amalkan supaya doa tersebut menjauhkan kita daripada kesusahan bala. maksudnya :"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan qada dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)"

(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Amalkanlah doa-doa tersebut di atas setiap hari waktu pagi dan petang  sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW dan yakinlah bahawa kita sentiasa dibawah perlindungan Allah SWT daripada musibah, bala, su'ul khatimah dan gangguan sihir.

Sahabat yang dimuliakan,

Jadikan sedekah yang ikhlas dan doa khusyuk yang di mohon dengan rasa rendah diri kepada Allah SWT sebagai amalan harian yang tidak kalian tinggalkan, samaada kalian berada dalam keadaan kaya, miskin, hidup menanggung berbagai masaalah atau tidak ada masaalah. Jika kalian ingat Allah SWT semasa kalian senang atau kaya maka Allah SWT akan ingat kalian semasa kalian susah atau miskin. Beristiqamahlah dengan kebaikan kerana mereka yang hidup beristiqamah akan mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT.

www.facebook.com